KONVENSYEN AZAM

0 comments
KONVENSYEN AZAM RUSSIA 







Bismillahirrahmanirrahim.
Pada 3 Januari 2012, bumi cinta Moscow telah menjadi saksi bagi Konvensyen Pelajar Muslim Malaysia di Russia. Program yang julung kali diadakan ini berlangsung selama sehari di Hotel Universitetskaya. Program ini adalah hasil kerjasama antara AZAM Russia dan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM). Konvensyen ini mengumpulkan hampir lima ratus mahasiswa Muslim bidang perubatan dan kejuruteraan dari seluruh pelusuk bumi Russia – Moscow, Nizhniy Novgorod, Volgograd, Saint Petersburg dan Kursk.
Penceramah yang diterbangkan khas dari Malaysia, Prof. Dr. Mohd. Alauddin Mohd. Ali, merupakan ahli Lembaga Pemegang Amanah bagi Yayasan Angkasawan Malaysia sejak tahun 2010. Beliau juga merupakan Bendahari Agung Pertubuhan IKRAM Malaysia. Seorang lagi penceramah jemputan, Dr. Fauziah Hj. Mohd. Hassan pula merupakan ahli Lembaga Pemegang Amanah Aqsa Syaqrif dan juga ahli Dewan Perwakilan Nasional IKRAM Malaysia. Dr. Fauziah  juga sering mengambil bahagian dalam kerja-kerja kemanusiaan bawah Aqsa Syarif dan juga Mercy Malaysia.



Konvensyen ini telah dibahagikan kepada tiga slot. Slot pertama, ‘Pioneering Pathway Towards Medical and Engineering Professionalism’ bermula sebaik sahaja selesainya solat Maghrib berjemaah. Dalam slot ini, pelajar-pelajar telah diberikan pencerahan tentang penerapan nilai-nilai Islam dalam kerjaya. Dunia professionalisme kita tidak sepatutnya dihadkan hanya untuk duniawi. Al-Qur’an dan hadith digunakan dalam merangka perjalanan kerjaya kita agar ianya menjadi lebih bermanfaat apabila disandarkan untuk ukhrawi.
Slot kedua telah dilangsungkan dalam bentuk forum dimana kedua-dua penceramah telah digabungkan. Moderator forum merupakan ahli badan editorial AZAM Russia dari Volgograd State Medical University, saudara Fahrurrazi Abbas. Forum yang bergaya santai ini memberi peluang kepada peserta forum untuk bertanya pada penceramah tentang pengalaman langsung dalam bidang kerjaya masing-masing. Dr. Fauziah telah menekankan tentang pentingnya penglibatan kita dalam aktiviti persatuan dan aktiviti kemasyarakatan agar kita dapat mencari segala potensi diri. Dengan potensi diri inilah kita dapat membina kekuatan dalam melaksanakan segala tanggungjawab.
Pelancaran AZAM Russia menyusul kemudian. Saudara Zulfadhli Zabri, selaku presiden AZAM Russia telah memberi sepatah dua kata. Detik permulaan AZAM Russia hanya sebagai portal media di Facebook. Kini, setelah sebulan dilancarkan, AZAM Russia mempunyai blognya yang tersendiri. Bilangan ahli di Facebook juga telah mencecah lapan ratus orang. AZAM Russia mempunyai visi yang meletakkan Islam sebagai ad-Deen dan misi dalam melahirkan individu Muslim dengan kefahaman yang syumul. Dalam mencapai misi dan visi ini, AZAM Russia bergerak melalui sistem usrah dan halaqah. Saudara Zulfadhli mengakhiri ucapan beliau dengan moto AZAM Russia, ‘Dengan keazaman, kita bermula.’


Kolonel Abd. Manaf, attache Menteri Pertahanan Malaysia di Russia, mewakili Tuan Yang Terutama Duta Malaysia telah melancarkan secara rasmi AZAM Russia. Beliau berharap AZAM Russia dapat bangkit menjadi sebuah pertubuhan yang boleh mencapai wawasan kita sebagai insan Muslim yang berwibawa, dan juga dari aspek professionalisme, yang pada suatu hari akan memacu negara ke sebuah negara maju yang berkonsep dan berlandaskan Islam.
Konvensyen kali ini bukan sahaja dihadiri oleh pelajar-pelajar Malaysia sahaja. Malah, pelajar dari negara lain juga turut menghadirkan diri. Walaupun terdapatnya halangan dari aspek bahasa, Hawa, pelajar tahun kedua dari Moscow State Medical University ini dapat memahami sedikit sebanyak kerana dibantu seorang sahabat yang menterjemahkan apa yang disampaikan pada konvensyen tersebut. Beliau berharap pada masa hadapan, AZAM Russia dapat menganjurkan program lain dalam Bahasa Inggeris agar beliau dapat turut serta juga.  









Post a Comment