SANG PENCINTA AGUNG …

1 comments

Assalamualaikum wbt.. Semua orang pasti pernah mendengar perkataan CINTA. Sering kali perkataan ini membuatkan pemilik cinta tidak keruan, gundah kerinduan, dan tidak tentu hala malah kadangkala hilang pertimbangan. Cinta dalam beberapa keadaan membuatkan seorang manusia itu hebat, seorang perwira dan seorang pejuang hilang kemegahan dan keperkasaan. Bisa meluntur keperwiraan lalu bertukar menjadi lemah, kelayuan, kemurungan dan kesedihan. Juga sebaliknya, cinta mampu mengubah sebuah kelesuan kepada semangat yang membakar keazaman, menyuluh kegelapan.
Begitu hebat kuasa CINTA.

Cinta telah membuatkan ramai manusia tersenyum sendirian ketika kalimah keramat ini berkumandang…

CINTA …
penuh makna dan penuh rasa dan peristiwa yang menanam kecintaan yang tersemai subur.

CINTA BIASA

Adalah patut anda mencintai ibu anda. Dialah insan pertama yang paling banyak berbakti, bersungguh mencintai anda dan berkorban seluruh kehidupannya untuk kebaikan anda. Maka sungguh tidak menghairankan kalau anda pernah mengalami ‘homesick ‘ sewaktu di MRSM atau sekolah menegah dahulu. Ketika pertama kali meninggalkan rumah dan berjauhan dari seorang bidadari penyayang yang banyak memberi kasih sayang, semangat dan rahmat kepada anda.  Ia sebuah cinta yang biasa tersemai malah perlu disemai di dalam hati.


Jikalau seorang isteri mencintai suaminya, itu juga adalah suatu cinta yang sememangnya dan seharusnya berlaku. Sememangnya Allah menanamkan perasaan cinta dan kasih dalam dua jiwa lelaki dan wanita supaya mereka berkasih sayang dan bercinta. Lantas di antara mereka terpateri kesetiaan; kegembiraan. Cinta itu atas rahmat daripada ALLAH walaupun hakikatnya suami dan isteri itu adalah penyatuan dua insan yang penuh perbezaan, beradaptasi dengan perbezaan dan dua jiwa yang meraikan sebuah perbezaan. Ia merupakan ihsan daripada Tuhan pencipta jiwa.

Cinta isteri kepada suami sememangnya wajar. Mencintai seorang lelaki yang banyak mengorbankan masa untuk membahagiakan isteri. Mengerah tenaga untuk memenuhi keperluan asasi kehidupan  isteri dan keluarga. Dan terkadang menahan kesabaran dan emosi dirinya untuk membahagiakan seorang isteri dan untuk melayakkan dirinya menjadi pemimpin orang-orang yang bertaqwa. Mencintai seseorang yang merupakan nakhoda kapal dalam bahtera rumah tangga adalah suatu yang biasa.

Juga sangat logik untuk seorang sahabat mencintai sahabatnya terutamanya jika sahabatnya seorang yang pandai. Selalu membantunya dalam pelajaran dan kertas kerja. Mencintai sahabat berduit yang banyak membantu dirinya dalam kesusahan di kala kesempitan wang juga bukan sesuatu yang menghairankan.  Merasai kehilangan sahabat yang telah banyak bersama mengharungi zaman suka duka ketika remaja juga sesuatu yang tidak perlu dikagumkan. Ini adalah kebiasaan. Mencintai persahabatan penuh manfaat-manfaat sampingan adalah wajar.

Adakah seorang anak akan mencintai ayahnya jika dia didera ketika kecil dengan tali pinggang, "hanger", dan perangai amuk di rumah? Sudah tentu jarang sekali ayah seperti itu dicintai, malah anak tadi mungkin sahaja mengalami "post traumatic syndrome".
Adakah seorang isteri akan mencintai suaminya jika dia merupakan seorang ketua keluarga yang tidak berperikemanusiaan, membebankan isterinya dengan kerja-kerja rumah sedangkan isteri tadi juga mempunyai kerjaya, suami yang sentiasa menurut kehendak diri sendiri, kedekut dan tidak melayan perasaan isteri? Adakah lelaki seperti itu akan dicintai? Rumah tangga seperti itu tidak akan mampu bertahan lama.
Adakah seorang sahabat akan merasai kemanisan persahabatan jika mempunyai kawan bijak yang "kiasu", yang mementingkan diri dan tidak suka menolong. Mengasihi seorang kawan yang kaya tetapi kedekut dan suka berlagak adalah sesuatu yang hampir mustahil, malah kawan seperti itu tidak mungkin dijadikan teman.

Kesimpulannya cinta yang wujud pada hari ini adalah cinta biasa yang fitrah dan penuh logika. Kita akan mencintai seseorang apabila orang tersebut dapat memberikan ‘sesuatu’ untuk kebaikan diri kita. Dan tatkala kebaikan itu hilang daripada dirinya, cinta kita akan turut hilang atau pudar. Kerana ia hanya sebuah cinta biasa.

Namun dalam dunia yang penuh keretakan cinta, cinta monyet, cinta palsu dan cinta metropolitan ini; dunia pernah melahirkan SANG PENCINTA YANG AGUNG. DIA mencintai sekumpulan manusia pada masa akan datang yang tidak pernah ditemuinya. DIA mencintai walaupun cintanya tidak berbalas malah; cintanya dinodai dengan kebencian tuduhan-tuduhan yang melampau seperti gila dan tukang sihir, dan juga mereka mencabar kesabaran sang pencinta agung. Namun jelas dia memang Sang Pencinta Agung yang telah membuktikan cintanya dengan air mata dan darah. Hidupnya adalah untuk mencintai.
Dia, manusia unggul, hebat; yang besar jiwanya. Mampu mencintai sehinggakan di hujung hayatnya, baginda mengakhirirnya dengan menyebut nama kekasihnya ummati, ummati.

Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wa Sallam telah pergi ke kawasan perkuburan dan berkata, “sejahtera ke atas kamu (penghuni) negeri orang-orang yang beriman. Sesungguhnya kami Insya Allah akan menyusuli kamu. Amat ingin di hatiku seandainya dapat kita melihat saudara-saudara kita”. Sahabat bertanya: Apakah kami ini bukan saudara-saudaramu ya Rasulullah? Baginda menjawab: “Kamu semua adalah sahabat-sahabatku. Sedangkan saudara-saudara kita adalah (orang-orang mukmin) yang belum muncul (i.e mukmin di masa hadapan) – [Riwayat Muslim]

Sangat luar biasa. Muhammad SAW adalah tokoh pencinta yang paling agung.


1 comment: