CUCU DAN ATUK YANG UNIK.

0 comments

Bismillahirrahmanirrahim.
 Seorang atuk ingin mengajarkan hikmah kepada cucunya.
"Cucu, pergilah ke perigi dan penuhkan kolah di rumah kita, nah gunakan bakul rotan ini untuk mencedok air."
"Baik atuk! "
Tanpa berlengah, cucu dengan segera dan tekun pergi mengambil air dari perigi, namun dek kerana bakul rotan yang digunakannya tidak mampu menampung air, hanya sedikit air yang tinggal apabila dia tiba di rumah. Kolah masih kontang.
Namun cucu tidak berputus asa, dia tetap meneruskan kerja yang disuruh atuknya. Pada mulanya cucu cuba melajukan langkahnya, akan tetapi teknik itu ternyata tidak membantunya untuk membawa lebih banyak air, malah menyebabkan air dari bakul tertumpah..kolah masih kontang.
Setelah beberapa ketika mencuba dan berlari, cucu keletihan namun kolah masih kontang.

Lari, laju lagi~~!! [kredit]
Akhirnya cucu hilang sabar dan mengadu pada atuknya bahawa bakul rotan itu mustahil untuk digunakannya bagi memenuhkan kolah di rumah mereka…
"Cucu, adakah kamu merasa kamu sedang membuat perkara yang sia-sia?"
"Ya, atuk dan saya tidak mahu lagi membuat kerja ini!"
Atuk tertawa lalu memujuk cucunya…
"Janganlah begitu cucuku, sekarang beritahu atuk adakah bakul rotan tersebut basah di dalamnya?"
"Ya sudah tentu."
"Adakah bahagian luar bakul itu basah...?"
"Ya"
Maka berkata atuk, "Janganlah bersedih cucuku, kau telah mempelajari sesuatu pada hari ini. Bakul itu seperti hatimu, dan air itu ibarat bacaan quran. Setiap kali engkau membaca al-quran, ia akan membasahi hatimu, walaupun terkadang kau tidak memahami apa yang kau bacakan, tetapi itulah al-quran ia akan tetap membasahkan, menyucikan hatimu, membersihkan jiwamu dan memberi kau kebahagiaan.."
Cucu mengangguk-angguk membenarkan ..

Adakah anda pernah mendengar kisah pengajaran seperti ini?
Adakah anda bersetuju dengannya?
Kita tidak menafikan hadith nabi Muhammad SAW bahawa membaca al-quran akan memberi kita pahala.
Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda: Daripada Ibnu Umar r.a berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda, "Hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air. Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula. Katanya dengan banyak mengingati mati dan membaca Al-Quran.”

Daripada Ibnu Masud r.a telah berkata bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda : "Barangsiapa membaca satu huruf daripada Kitabullah maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif Laam Miim satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf."
 Tetapi benarkah ‘Setiap kali engkau membaca al-quran, ia akan membasahi hatimu, walaupun terkadang kau TIDAK MEMAHAMI apa yang kau bacakan, tetapi itulah kelebihan al-Quran ia akan tetap membasahkan, menyucikan hatimu, membersihkan jiwamu dan memberi kau kebahagiaan..

Kesimpulan ini kedengaran begitu mulia, murni, dan benar.

Tetapi bagaimana dengan firman Allah;
"Maka tidakkah mereka MENTADABBUR (MENELITI)  al-Quran?"  
-An-Nisa':82
 "Sebenarnya al-quran itu adalah ayat yang nyata di dalam dada orang-orang yang diberikan ilmu..." 
-Al-Ankabut:49
"Sesungguhnya dalam al-quran itu terdapat rahmat yang besar dan pelajaran bagi orang-orang yang beriman."
-Al-Ankabut: 51


Ertinya Allah menyuruh hambanya membaca Al-quran dan kemudian beriman dan meneliti al-quran supaya dapat diambil pengajaran darinya. Ia bukan bacaan ritual kosong. Ia bacaan untuk kehidupan. Ia bacaan yang mampu mengubah.
Baca? Tadabbur? erk.. [kredit]
Al-quran bukan hanya bacaan di lisan.
Allah berfirman lagi;
"Dan di antara mereka ada yang buta huruf dan tidak mengetahui Al-kitab,…"
 -Al-Baqarah: 78

"Sesungguhnya kami mempermudahkan Al-quran itu dengan bahasamu supaya mereka mendapat pengajaran."
- Ad-Dukhan: 58

"Dan sesungguhnya telah kami buat dalam al-quran ini segala macam perumpamaan untuk manusia..."
-Ar-Rum: 58


Jelas dalam firman-firman Allah di atas menuntut kita bukan hanya membaca tanpa memahami apa yang kita bacakan. Sungguh aneh jika sesorang boleh menjadi doktor hebat jika dia hanya membaca buku-buku perubatan dan menghafalnya tanpa memahami apa yang dibaca. Bukankah seringkali kalau bahan bacaan dan rujukan perubatan yang ditulis dalam bahasa Russia diterjemah ke dalam bahasa inggeris? Untuk apa? Adakah supaya mudah kita menghafalnya? Untuk mudah kita membacanya? Atau supaya kita mudah memahaminya?

Alangkah dangkalnya manusia yang berfikir bahawa hanya dengan mengkhatamkan Al-Quran pada bulan ramadhan tanpa memahami maksud dan isi yang dibacanya, akan menjadikan mereka orang-orang yang bertaqwa.

Alangkah ruginya manusia yang hanya membaca cara-cara hidup yang baik, sedang mereka jauh sekali beramal dengannya malah tiada usaha untuk memahami apa yang dibacanya..

Alangkah sesatnya manusia yang menyangka dengan hanya membaca di mulut mereka ayat-ayat al-Quran tanpa mengetahui apa yang dikehendaki ALLAH dapat mengubah dirinya dan dapat meraih cinta ALLAH..

KITA YANG MEM"BACA" AL-QURAN

"Tidak perlulah bersanding, bukankah islam menyatakan ia haram?"
"Tak apa lah, nanti keluargaku bising, lagipun ini adalah tradisi dan adat keluarga bukankah hanya sekali seumur hidup?"
***
"Tengok, ada burung gagak hitam di atas bumbung rumah, pasti ada orang mati hari ini..."
"Eh, khurafat tu..."
"Jangan main tuduh-tuduh kata aku khurafat, itu kepercayaan orang tua-tua, bukankah elok mengingati kematian?"
***
"Kau tidak solatkah? "
"Eh, bisinglah kau, mak dan bapak aku pun tak bising kalau aku tak solat, kau siapa untuk menegur aku?"

Adapun manusia yang membaca al-quran tetapi tidak beramal dengan al-quran bahkan terus menerus mengikut adat nenek moyang.
"Dan apabila dikatakan kepada mereka, "Ikutilah seperti apa yang telah Diturunkan Allah," mereka menjawab, "(Tidak!) Kami mengikuti apa yang kami dapati pada nenek moyang kami (melakukannya)." Padahal nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa pun, dan tidak mendapat petunjuk."
-Al-Baqarah:170

LAYANAN YANG UNIK KEPADA AL-QURAN

Inilah keunikan kita terhadap pembacaan Al-Quran. Setelah bertahun-tahun kita membaca al-quran dan berkali-kali mengkhatamkan al-quran, kita tidak pernah jemu-jemu membacanya dan terus membacanya.  Kadangkala kita menekankan tajwid, kadang kala kita bertanding suara siapa yang lebih lunak. Dan akhirnya kita berlumba menghafaznya, tetapi jarang sekali kita berbincang isi mahal yang terkandung dalam al-quran, menghargai waris Nabi S.A.W kepada kita.

Kita lantas kehairanan mengapakah hafalan al-quran kita tetap tidak menambahkan keyakinan dan keimanan kita.

Tetap tidak menambahkan izzah (kebanggaan) kita terhadap islam.
Tetap tidak mengubah kita.
Umat ini tetap dalam keadaan ‘sakit’…

Lantas kita ternanti-nanti, kapankah pertolongan Allah untuk umat ini. Bukankah kami adalah umat yang telah mem’baca’ Al-quran?

[kredit]





Post a Comment