Momentum Bulan Ramadhan

0 comments

[kredit]

Bismillahirahmanirahim.

Bulan ramadhan sudah hampir ke penghujungnya. Kawasan perumahan mula disinari dengan lampu raya, aktiviti-aktiviti seperti membuat kuih, menukar langsir memenuhi hari minggu, musim sale menjelang tiba di pusat membeli-belah.

Ramadhan, manusia berusaha sehabis baik untuk memenuhi bulan ini dengan amalan-amalan mulia, mengharapkan keberkatan. Malam dipenuhi dengan solat terawih, solat sunat, qiam, menghafaz al-Quran. Siang pula bertadarus, berzikir, infaq dan sebagainya. Manusia berusaha untuk menjadi insan yang lebih baik. Yang tidak berhijab memilih untuk menyambut seruan Ilahi. Yang merokok menahan diri. Semua orang ingin mengejar malam lailatul qadr, malam seribu bulan.

Ketibaan Syawal juga dinanti-nanti. Anak-anak kecil seronok memikirkan duit raya yang bakal diterima. Golongan wanita membuat persiapan baju, tudung, kasut, lengkap semuanya. Rumah dikemas bagi persiapan menyambut tetamu yang kunjung nanti.

Usah lupa pada Ramadhan yang penuh berkat itu. Walaupun akhirnya kita mengucapkan salam perpisahan tidak bererti amalan-amalan baik itu perlu dilambai pergi juga. Kita berlumba-lumba untuk meraih cinta Allah pada bulan ini dan seharusnya perlumbaan itu diteruskan lagi.

mereka itu bersegera dalam kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang lebih dahulu memperolehnya ” [23:61]

Teruskan lagi momentum itu dan berdoalah agar kita berjumpa lagi dengan bulan mulia ini dengan persiapan yang lebih baik. InsyaAllah.

Wallahualam.

-hitamputih




Post a Comment