Yok, Kita Aktifkan Diri!

0 comments


Bismillahirrahmanirrahim...

Kini, angin sepoi-sepoi bahasa telah mula meniupkan aroma musim bunganya di Volgograd. Tiada lagi ais dan tiada lagi suhu di bawah angka sifar. Terasa juga bahang-bahang semangat membara para atlet yang sedang giat berlatih dengan menjelangnya STIG X yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. 

Ada yang giat dengan latihan staminanya, ada yang giat dengan perancangan strategi dan taktik, ada juga yang giat meniupkan api-api semangat dan memberikan kata-kata sokongan untuk mengukuhkan moral pasukan universiti masing-masing.

Aktiviti sukan sangat digalakkan di dalam Islam, bukan sahaja untuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah, namun ia juga dapat menyihatkan tubuh badan, mencerdaskan minda dan menajamkan refleks diri. Selain itu, ia dapat juga mengajar erti kalah dan menang, kerja berpasukan, dan kemahiran dalam mengatur strategi untuk mencapai sesuatu matlamat.

Ingatlah, Rasulullah SAW pernah bersabda: 

“Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah berbanding daripada orang beriman yang lemah.” 
(Hadis riwayat Muslim)

Hah, apalagi? Kata nak jadi jundi(tentera) Ilahi, maka kena jadi kuatlah! Dan untuk mencapai matlamat ini, kita perlu menjinakkan diri untuk menjadi lebih aktif, dan, lebih digalakkan untuk menceburi bidang kesukanan yang diminati. 

Jom kita kongsi bersama beberapa tips untuk mula berjinak-jinak dan konsisten dalam bersukan dan mengamalkan cara hidup yang aktif. (Ya, walaupun anda bukan seorang atlet profesional!):

1) Bermula dengan sedikit.

Jangan bebani diri anda dengan rutin yang ekstrem seawal permulaan, kerana ini akan melemahkan motivasi anda untuk meneruskan rutin ini pada waktu-waktu yang berikutnya. Sebaliknya, anda disyorkan untuk membuat aktiviti secara bertahap, bermula dengan tahapan paling rendah. 

Apabila anda merasakan diri anda telah bersedia untuk menghadapi tekanan fizikal yang lebih, maka bolehlah tahapan itu dinaikkan sedikit demi sedikit mengikut kesanggupan diri. Langkah ini juga dapat mengelakkan otot-otot anda daripada tercedera.

2)Berikan ganjaran kepada diri anda.

Mengubah sesuatu rutin yang telah sebati dalam hidup anda bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan motivasi dan sokongan moral yang tinggi, apatah lagi buat mereka yang pertama kali ingin mencuba. Jadi, apabila anda telah berjaya memenuhi matlamat anda, hadiahkanlah diri anda dengan snek-snek sihat! Dengan ini, anda akan mempunyai motivasi yang lebih untuk meneruskan gaya hidup baru anda.


3) Lakukan senaman badan penuh selama 5 minit.

Anda tidak mempunyai banyak masa untuk bersenam mahupun bersukan berkali-kali dalam seminggu? Lupakan alasan itu dan lakukan senaman badan penuh selama 5 minit, yang dapat meregangkan otot-otot di seluruh tubuh badan anda. (Untuk lebih informasi, boleh rujuk di laman web>> http://www.livestrong.com/article/522252-5-minute-total-body-workout/) Anda boleh juga menyertai sukan renang ataupun squash untuk mencapai matlamat yang sama. 

4) Tukar salah satu aktiviti sedentari anda dengan aktiviti bersenam atau bersukan.

Inilah masanya untuk mengatur kembali jadual hidup anda dengan aktiviti yang bermanfaat! Lihatlah pada senarai aktiviti-aktiviti harian anda, dan pilihlah satu di antaranya yang paling sesuai untuk ditukarkan menjadi masa anda bersenam dan bersukan.  Sebaiknya pilihlah slot yang sering diisi dengan perkara yang kurang membawa faedah. Buatlah pilihan dengan baik, agar anda tidak rasa terbeban kerana terpaksa meninggalkan aktiviti masa lapang yang anda minati.

5) Bina momentum anda!

Siapa kata anda tidak boleh memulakan gaya hidup baru? Jangan biarkan diri anda terpengaruh dengan rasa rendah diri, mahupun kata-kata umpatan yang mempersoalkan perubahan diri anda ini. Anda tahu tujuan anda, dan andalah yang menguasai diri anda sendiri. Mulakan dengan langkah pertama, kemudian langkah-langkah seterusnya akan menyusul dengan mudah, inshaaAllah. 

Dari Ibnu Abbas, dia berkata: Nabi s.a.w bersabda:

“Dua kenikmatan, kebanyakan manusia tertipu pada keduanya, (iaitu) kesihatan dan waktu lapang.” 

(HR Bukhari)

Maka, beruntunglah sesiapa yang mempergunakan waktu sihatnya sebaik-baiknya. Yok, kita aktifkan diri!

Wallahua’lam.


Post a Comment