Tips: Belajar mengahadapi peperiksaan dan mengejar redha Ilahi

0 comments
Assalamualaikum wrt 

Mudah-mudahan musim peperiksaan ini bukan saja menambah ilmu di dada, tetapi juga iman dan taqwa. Peperiksaan duniawi ini merupakan salah satu bentuk ujian dari Allah untuk menguji keterikatan kita dengan iman dan nafsu.

Di sini kami membawa tips-tips yang in sha Allah dapat membantu anda menghadapi dunia peperiksaan sebagai satu ibadat kepada Allah.



1. Betulkan niat.

Kita belajar bukanlah semata-mata demi mendapatkan markah yang baik di mata manusia. Tetapi demi mendapat markah yang baik di sisi Allah. Redha Allah lah yang menjadi hala tuju setiap pendakian kita. Kerana setiap yang diniatkan demi Allah dikira sebagai satu ibadat.

Allah begitu cintakan hamba-hambaNya yang menuntut ilmu.



2. Tidak membazir masa walau seminit.

Masa merupakan makhluk Allah yang tak pernah berhenti. Dan setiap detik hidup ini tak boleh diganti semula. Oleh itu, setiap detik perlu digunakan untuk berusaha sekeras-kerasnya. Allah menegaskan kepentingan menjaga masa dalam Surah Al-'Asr,
"Demi masa. Sungguh, manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." 

3. Berpagi-pagian.

Gunakan sepenuhnya masa awal pagi untuk mengulangkaji pelajaran. Pupuk semangat belajar di awal pagi biar pun tidak terasa mahu membaca. Usaha ini akan menyemai semangat yang kental terhadap proses menuntut ilmu, dan membolehkan kita mulakan hari dengan lebih baik.

4. Selangi dengan Al-Quran
Membaca terlalu lama akan menjadikan kita letih. Cara terbaik menghilangkan rasa letih ialah dengan membaca Al-Quran. Bacaan Al-Quran di waktu ini akan menjadikan hati kita lebih tenang, di samping melengkapkan Mutabaah Amal harian kita.

5. Buat nota ringkas
Nota ringkas dapat bantu kita merujuk kembali apa yang telah dibaca dengan lebih cepat dan mudah. Ia dapat meningkatkan kuasa ingatan kita. Dengan adanya nota ringkas juga, ulangkaji sehari sebelum peperiksaan menjadi lebih mudah.

6. Rajin bertanya
Dekatkan diri dengan senior dan guna setiap kesempatan yang ada untuk menjawab setiap kemusykilan. Biar pun sudah faham, kita masih boleh bertanya. Ini akan menguatkan kefahaman dan ingatan kita. 

7.  Belajar dengan cara sendiri
Jangan bandingkan diri dengan pelajar lain. Setiap dari kita ada rentak belajarnya sendiri yang sesuai dengan diri masing-masing. Bandingan hanya akan menjadikan kita tertekan dan hilang semangat. Teruskan berusaha sampai ke penghujungnya.

8. Doa dan tawakal
Doa dan tawakal bukan sahaja setelah siap berusaha, bahkan sepanjang kita berusaha. Yakin bahawa setiap yang berlaku adalah atas sebaik-baik rancangan dari sebaik-baik Perancang.



 "Wahai Tuhanku, kurniakanlah kami fahaman nabi-nabi dan hafalan para rasul serta ilham dari para malaikat yang hampir denganMu, juga kurniakanlah kami kesihatan Wahai Tuhan Yang Amat Pengasih"

-Belajar demi mengejar redha Ilahi-



Post a Comment