Mari Menjadi Pemuda Produktif!

0 comments


Bismillahirrahmanirrahim…

Kita sering disibukkan dengan pelbagai hal duniawi, boleh jadi dengan hal pelajaran, hal keluarga, mahupun hal berkaitan rakan-rakan kita. Antara sedar atau tidak, masa berlalu dengan begitu pantas meninggalkan kita yang masih terkapai-kapai dalam mengatur urusan harian agar banyak yang dapat diselesaikan dalam satu-satu masa. Kadangkala, kita terasa rimas dengan bebanan tanggungjawab dan amanah yang harus dipikul dalam masa usia muda kita ini.

Berat! Susah!

Alahai,beginilah kehidupan seorang pelajar. Lupakah kita, Sultan Muhammad Al-Fateh hanya berumur 21 tahun ketika menawan Constantinople? Dalam usia sebegitu muda beliau telah berjaya mencapai satu kejayaan yang besar dalam hidupnya, malahan dalam sejarah Islam itu sendiri!

MasyaAllah!

Kredit

Bagaimana pula dengan kita?

InsyaaAllah, masih belum terlambat untuk kita perbaiki langkah. Kita masih punya peluang untuk mengatur kembali urusan kita agar tidak hanya penuh dengan urusan duniawi sahaja, malahan juga terisi dengan usaha-usaha untuk mengumpul saham akhirat nanti. Apa yang pasti, di mana ada kemahuan, di situ pasti akan ada jalan yang bakal luas terbentang!

1) Tingkatkan ilmu pengetahuan

Pada masa kita muda remaja inilah otak kita lebih mudah untuk menyerap ilmu mahupun informasi-informasi baru yang dipelajari. Jadi, gunakanlah masa dan peluang ini sebaiknya untuk mengumpul.

sebanyak mana ilmu pengetahuan, tidak kira dalam bidang pengajian kita mahupun dalam bidang ilmu Islam. Jangan biarkan masa yang berharga ini berlalu begitu sahaja. Bacalah buku-buku, majalah-majalah, mahupun artikel-artikel secara online untuk mencapai tujuan yang satu ini.

Bukan itu sahaja, banyak juga kelas-kelas yang boleh kita ikuti tidak kira secara online mahupun offline. Dengan perkembangan teknologi zaman serba maju ini, macam-macam cara yang boleh kita pilih untuk memenuhi minda kita dengan sesuatu yang berfaedah dan mematangkan pemikiran. Pilihlah bahan-bahan bacaan yang bagus kerana ia boleh membentuk cara pemikiran dan persepsi anda terhadap dunia ini. Apa lagi, selepas mempelajari sesuatu yang baru, rajinkanlah diri untuk berkongsi ilmu baru itu dengan orang lain juga!

Rasulullah shallallahu'alaihi wa sallam bersabda: "Apabila anak adam meninggal dunia, terputuslah ilmunya kecuali tiga perkara, yaitu: sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat, dan anak sholih yang mendo'akannya." (HR. Muslim)

2) Cergaskan dirimu

Selain daripada mengamalkan diet yang sihat dan seimbang, kita juga perlu bersenam untuk memastikan diri sentiasa sihat dan cergas. Badan yang sihat mampu membentuk minda yang cerdas dan positif. Akal yang sihat dan segar juga akan mampu untuk berfikir dengan lebih kritis dan kreatif, dan dapat membantu kita menyelesaikan pelbagai masalah dengan mudah, in shaa Allah.

Kita perlu menitikberatkan hal kesihatan juga kerana badan yang sakit akan menjadi lemah dan malas untuk melakukan rutin harian, lebih buruk lagi andai berkira-kira untuk melakukan kewajipan! Astaghfirullah… Moga-moga kita sentiasa dilindungi daripada berada dalam keadaan sebegini.

(kredit: http://meraban.semenyih.net/?p=567)

Amalkan senaman ringan setiap pagi yang tidak perlulah begitu lama, 10 minit sahaja sudah mencukupi untuk memulakan hari anda dengan penuh bertenaga! Setiap hujung minggu pula bolehlah diisi dengan aktiviti berjogging mahupun bersukan dengan rakan-rakan sambil mengeratkan ikatan ukhuwah sesama kita. Pasti kita akan menjadi lebih bersemangat untuk hadapi minggu-minggu yang seterusnya nanti.

3) Small deeds do count!

Daripada solat yang wajib kepada solat sunat, mahupun daripada ibadah zakat kepada sedekah seharian, tidak ada satu pun yang terlepas daripada timbangan dan hisab Allah swt. Jangan menganggap amalan kita yang nampak kecil dan mudah itu sedikit nilainya! Semuanya berlandaskan kepada niat dan keikhlasan kita. Boleh jadi amalan kita yang kecil dan mudah itulah yang bakal menyelamatkan kita di akhirat nanti, kerana ketika itulah kita ikhlas. Ketika itulah kita benar-benar beramal kepadaNya. Dan amalan itulah yang akan membawa kita ke syurga.

4) Sentiasa muhasabah diri

Pengalaman banyak mengajar kita dalam pelbagai aspek kehidupan. Maka apa salahnya andai kita ambil sedikit masa walaupun seminit dalam sehari untuk refleksi diri? Membetulkan mana yang salah, dan meningkatkan mana yang bermanfaat dan berfaedah. Pada waktu inilah kita bakal mengenali diri sendiri dengan lebih mendalam, dan melakukan beberapa koreksi agar dapat menyesuaikan diri dalam acuan Islam yang sebenar di bawah pancaran sinar syiarnya yang tidak pernah kunjung malap. Dengan cara ini juga anda bakal merasa lebih berkeyakinan diri dan membentuk pemikiran yang lebih positif untuk menjadi lebih baik!

(kredit: http://hanifatunnisaa.wordpress.com/2013/02/06/muhasabah-2/)

5) Merancang mengikut prioriti

Setelah bertaubat daripada kesalahan, bermuhasabahlah juga untuk masa hadapan. Tetapkan satu ruang dalam sehari untuk mengatur perjalanan hidup anda untuk keesokan harinya pula. Jadual kita yang sudah sedia maklum penuh dengan kelas dan ‘lecture’ perlu juga diisi dengan masa untuk keluarga, rakan, dan apatah lagi bagi yang memegang jawatan dalam sesuatu organisasi- perlu menghadiri mesyuarat yang tidak putus-putus bagi menyelesaikan sebarang musykilah mahupun masalah yang timbul.

Langkahnya mudah sahaja. Tuliskan setiap tugasan yang harus diselesaikan mengikut prioriti, dan susun setiap langkah yang perlu diambil agar mudah dirujuk dan dilaksanakan kemudian. Bak kata pepatah inggeris, “Those who fail to plan are planning to fail.” Mahukah anda menjadi seorang ‘failure’?

Jadi mulakan perancangan anda sekarang agar anda dapat mengisi masa anda dengan lebih produktif!

Sebaik-baik kita merancang, namun ada juga masanya hal itu tidak dapat dilaksanakan atau diselesaikan. Maka di sini kita harus sentiasa ingat, Allah jualah sebaik-baik perangcang. Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita. Janganlah mudah mengeluh, dan jangan mudah berputus asa. Beristighfarlah, dan teruskan dengan langkah yang seterusnya.

“Boleh jadi kamu mencintai sesuatu padahal sesuatu itu amat buruk bagimu, dan boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal itu amat baik bagimu. Kamu tidak mengetahui sedangkan Allah Maha Mengetahui”

(Surah Al Baqarah 2:216)

Menjadi hebat dalam usia yang muda bukanlah sesuatu yang mustahil. Apa yang kita perlukan hanyalah kemahuan, perancangan, dan pelaksanaan yang betul. Oh, tidak lupa juga doa dan tawakkal kepada Allah swt! InsyaaAllah, moga informasi ini bermanfaat dan bakal merubah hidup kita agar menjadi lebih baik. Yok jadi pemuda produktif!

Wallahua’lam.

Post a Comment