FRIDAY WRAP ( 7 MAC 2014 - 14 MAC 2014)

0 comments
Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

AZAM Russia kini kembali membawa berita-berita terkini dari seluruh dunia.

Rejim Zionis sekat perhimpunan wanita di pusat semak Qalandiya
12/03/2014


BAITULMAQDIS - Angkatan Bersenjata Israel (IOF) menyekat perarakan wanita yang berlangsung di hadapan pusat semak Qalandiya di bahagian utara Baitulmuqaddis pada Sabtu lepas dan menyebabkan beberapa kes sesak nafas.

Pergerakan wanita menganjurkan perarakan itu pada pagi Sabtu di hadapan pusat semak Qalandiya bersempena Hari Wanita Antarabangsa bertujuan untuk menggesa supaya penjajahan Israel ditamatkan dan mengecam keganasan yang dilakukan oleh Israel terhadap wanita Palestin. Menurut sumber tempatan, tentera-tentera IOF melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah terhadap peserta perarakan itu, mengakibatkan beberapa aktivis mengalami kesesakan nafas.


Crimea mohon sertai Russia
07/03/2014

BRUSSELS- Presiden Russia, Vladimir Putin semalam berbincang dengan Majlis Keselamatannya berhubung permohonan pihak berkuasa yang pro-Moscow di Crimea untuk menyertai Russia.

Putin mengadakan perbincangan tidak berjadual itu dengan dengan majlis keselamatannya mengenai situasi di Ukraine, termasuk keputusan oleh parlimen Crimea untuk memohon menyertai Russia, kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov.

Beliau bagaimanapun tidak memberi butiran lanjut perbincangan.

Cetus tekanan

Sementara itu, Ukraine semalam menuduh Russia cuba mencetuskan tekanan, ketika Suruhanjaya Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pemimpin Eropah mengadakan pertemuan tergempar, manakala pemantau OSCE dijangka akan berada di Crimea dalam misi meredakan ketegangan.

Sidang kemuncak EU bermula apabila pemimpin akan bertemu dengan Perdana Menteri Ukraine, Arseniy Yatsenyuk yang mengambil alih selepas bekas Presiden proMoscow, Viktor Yanukovych lari ke Russia bulan lalu berikutan protes yang berlarutan selama tiga bulan.

Kiev mahukan penyelesaian politik jadi ia bergantung kepada Russia sekiranya mereka bersedia untuk memperbaiki konflik ini... atau Russia masih raguragu dan (mahu) meningkatkan tekanan seperti yang dilakukan sejak beberapa jam lalu, kata Yatsenyuk selepas bertemu Ketua Parlimen Eropah, Martin Schulz.
Setiausaha Kerajaan Amerika Syarikat, John Kerry akan mengadakan perbincangan pusingan kedua dengan rakan sekerja Russia Sergei Lavrov, begitu juga Menteri Luar Kesatuan Eropah (EU) lewat semalam manakala Suruhanjaya Keselamatan PBB akan mengadakan perbincangan di New York, iaitu yang keempat bagi pertubuhan itu berhubung subjek sama sejak Jumaat lalu.

Tentera antarabangsa

Seperti yang dipersetujui EU, 40 anggota tentera antarabangsa tidak bersenjata daripada Pertubuhan bagi Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE ) dijangka tiba di rantau Crimea Ukraine untuk pemeriksaan.




Syria negara paling bahaya di dunia

12/03/2014

NEW YORK - Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) memaklumkan bilangan kanak-kanak yang terjejas akibat krisis di Syria meningkat lebih dua kali ganda berbanding tahun lalu.

Lapor Press TV kelmarin, Unicef turut memaklumkan Syria kini merupakan salah sebuah tempat paling bahaya di dunia selepas tiga tahun negara itu terjerumus ke kancah perang saudara.

Berdasarkan angka dikeluarkan PBB, sekurang-kurangnya 10,000 kanak-kanak terbunuh sepanjang konflik itu dan jumlah sebenar didakwa mungkin jauh lebih tinggi.

Selain itu, agensi tersebut turut mendedahkan bahawa budak seawal 12 tahun telah direkrut untuk bertempur dan ada juga yang dipaksa menjadi pemberi maklumat, pengawal serta penyeludup senjata.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon pernah menggesa semua parti di Syria menyambung semula rundingan damai bagi mencari jalan penyelesaian politik untuk menamatkan krisis di negara terbabit.


Pesawat MAS MH370 dilaporkan hilang
08/03/2014

KUALA LUMPUR- Pesawat Malaysia Airlines yang sedang dalam perjalanan ke Beijing dengan membawa 227 penumpang termasuk dua bayi bersama 12 kru dilaporkan hilang semasa dalam penerbangan ke Beijing.
Malaysia Airlines dalam satu kenyataan mengesahkan pesawat itu terputus hubungan dengan Pusat Kawalan
Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi lalu.

MAS berkata penerbangan MH370, yan dikendalikan pesawat B777-200 berlepas dari Kuala Lumpur pada 12.41 pagi 8 Mac.

Penerbangan MH370 itu dijangka mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Malaysia Airlines sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa yang telah mengaktifkan pasukan mencari dan menyelamat untuk mengesan pesawat itu.


Israel Kecam Iran
12/03/2014

ISRAEL- Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menuduh Iran sebagai negara pengganas yang cuba menggugat keamanan dan keselamatan di Asia Barat.

Negara itu dakwa beliau bercita-cita memusnahkan rejim Israel.

Netanyahu melemparkan tuduhan itu ketika meninjau puluhan roket yang didakwa milik Iran yang dipintas tentera Israel di Laut Merah, minggu lalu.

Roket berkenaan dikatakan cuba dihantar ke semenanjung Gaza.

Beliau seterusnya memarahi dan menuduh masyarakat antarbangsa yang mengabaikan tindakan Iran menyokong kumpulan bersenjata.

Netanyahu lantang mengkritik usaha enam kuasa dunia berhubung rundingan dengan Iran mengenai program nuklear.




Israel serang 29 sasaran di Gaza

14/03/2014

BANDAR GAZA - Tentera Israel melancarkan serangan ke atas 29 sasaran di Gaza, Palestin semalam selepas para pejuang Palestin melakukan serangan roket ke arah negara Yahudi itu.

Serangan rejim Zionis itu telah menyebabkan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas semalam menuntut tentera Israel menghentikan serangan.

Ribuan penduduk Israel melarikan diri apabila satu siri roket yang dilancarkan para pejuang Palestin tersebut menuju ke selatan Israel.

Serangan itu adalah skala yang paling besar dilakukan para pejuang Palestin sele- pas perang selama lapan hari melibatkan tentera Israel dengan pergerakan Hamas berlangsung pada November 2012.

Para pejuang Palestin itu melancarkan serangan roket tersebut sejak tengah hari kelmarin.

Serangan tentera Israel itu berlaku sele- pas para pejuang Palestin yang menyertai kumpulan Jihad Islam melepaskan temba- kan mortar ke arah askar-askar rejim Yahudi yang memasuki selatan Gaza.

Tindakan kumpulan Jihad Islam itu menyebabkan tentera Israel melancarkan serangan balas.

Serangan balas itu mengakibatkan tiga anggota Jihad Islam terbunuh.

Ekoran kematian itu, sayap tentera Jihad Islam, Briged Quds melancarkan satu siri serangan roket ke arah sempadan Israel kelmarin.

Serangan itu melibatkan 130 buah roket.

Israel kemudian melakukan serangan balas udara ke atas 29 sasaran di seluruh Gaza dengan mengebom pangkalan-pangkalan yang digunakan pergerakan Hamas dan Jihad Islam.

Sumber-sumber keselamatan di Gaza menyatakan, tiada kematian dilaporkan berlaku dalam serangan udara tersebut.

Tentera Israel menyatakan, lebih 60 roket mengenai selatan Israel kelmarin, lima daripadanya jatuh di kawasan berpendudukan padat.

Tiga lagi roket berjaya dipintas sistem pertahanan iron Dome milik Israel.

Menteri Pertahanan Israel, Moshe Yaalon menyalahkan Jihad Islam dan Hamas ekoran serangan balas tersebut.

Menurutnya, sesiapa yang melakukan serangan ke atas Israel akan menerima padah. - Agensi


Jerebu-Pelabuhan Klang Dan Banting Catat IPU Berbahaya
14/03/2014

Dua kawasan di Selangor mencatat bacaan indeks pencemaran udara IPU yang dikategorikan sebagai berbahaya sehingga jam tujuh pagi tadi. Pelabuhan klang mencatat bacaan IPU 352, diikuti banting yang meningkat mendadak kepada 316. Angka itu dicatatkan menerusi Laman Web Jabatan Alam Sekitar JAS. 12 kawasan lain turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat. Tiga kawasan lain di selangor mencatatkan IPU tidak sihat iaitu Kuala Selangor, Petaling Jaya dan Shah Alam. Batu Muda dan Cheras di Kuala Lumpur, serta Putrajaya. Kemerosotan kualiti udara tidak sihat juga dicatat di Melaka, Negeri Sembilan dan Tanjung Malim, Perak. Selain Bandar Raya Melaka, dan Bukit Rambai, di Melaka. Serta Nilai, Port Dickson dan Seremban, Negeri Sembilan. Manakala di Muar, Johor, bacaan Bandar Raya Melaka, Dan Bukit Rambai, Di Melaka, dicatatkan ialah 111. 


Sekian sahaja Friday Wrap untuk minggu ini.


Post a Comment