Sukan dalam acuan Islam.

0 comments
Islam merupakan agama syumul yang mendidik umatnya untuk mencapai kebahagiaan akhirat tanpa meminggirkan urusan dan persoalan duniawi. Justeru, amalan riadah atau bersukan menjadi sebahagian perkara yang perlu diberi perhatian bagi melahirkan masyarakat cerdas pemikiran dan kuat fizikal. Seperti ada pepatah arab yang berbunyi "Al-aql salim fi jism as-salim" iaitu akal yg cerdas lahir dari badan yg sihat.

Rasulullah s.a.w sentiasa mengingatkan umatnya menjaga kesihatan diri, haruslah kuat serta terhindar daripada sebarang penyakit memudaratkan. Baik rohani mahupun jasmani, qawiyyul jismi sama penting bagi keduanya. Kenapa perlunya kekuatan dan kesihatan tubuh badan ini pastinya ada sebab yang hendak dikehadapankan. Dan salah satu daripadanya yang utama adalah supaya dapat melakukan ibadah fardhu dan sunat dengan sempurna. Sebagai contoh seperti ibadah haji, kalau tak kuat, bagaimana nak sempurnakan thawaf, sa'i, wukuf, mazbit di Muzdalifah, melontar jumrah, mabit di Mina, dan lain-lain?



Siapa yang tak mahu kasih sepantun tulisan pinggan dari Yang Maha Pencipta kan?

Baginda s.a.w ada menegaskan dalam hadis yang bermaksud: “Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah berbanding daripada orang beriman yang lemah.” (Hadis riwayat Muslim). Jelas pastinya badan seorang muslim yang kuat dapat mengisi masa "sihat sebelum sakit" dengan lebih banyak perkara yang Allah suka berbanding muslim yang lemah. Siapa yang tak mahu kasih sepantun tulisan pinggan dari Yang Maha Pencipta kan? Jadi apa lagi! Ayuh kuatkan tubuh badan kita!

Bersukan bukan aktiviti yang asing lagi bagi mereka yang mementingkan kesihatan. Dengan bersukan, kekuatan fizikal dapat ditingkatkan, malah dalam al-Quran turut menggalakkan umat Islam untuk mempersiapkan kekuatan fizikal bagi menghadapi musuh-musuh Allah. Firman Allah s.w.t:
Maksudnya: "Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya." [Al-Anfal 8:60]

Bagaimanapun, keseronokan bersukan dan melakukan kegiatan jasmani tidak sepatutnya menyebabkan seseorang itu lupa tanggungjawab terhadap Allah seperti mengerjakan solat atau mengambil mudah soal aurat. Oleh itu, Islam menggariskan kaedah terbaik untuk menutup pintu kerosakan dengan menyesuaikan kegiatan sukan mengikut syariat seperti mengasingkan tempat serta waktu bersukan bagi lelaki dan perempuan. Syarat dan peraturan yang perlu diguna pakai sebagai rujukan dalam menjana kegiatan riadah bertujuan agar apa yang dilakukan tidak terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar.

Dalam menyokong pasukan, keganasan wajib dielakkan. Bermegah-megah juga mesti hindari. Menang dalam pertandingan tidak bermakna halal menghina lawan yang kalah. Islam memandang sukan sebagai jalan untuk meningkatkan kasih dan kerjasama antara manusia, bukan jalan melukakan perasaan. Inilah sebab si pemenang tidak sepatutnya terbawa-bawa dengan kegembiraan sampai menghina lawan, dan yang kalah tidak boleh dihantui oleh cemburu terhadap kelebihan pihak lawan. Mereka mesti ingat yang kekalahan hari ini akan membuka jalan untuk kemenangan pada masa depan, jika mereka bersabar dan cuba menambah-baik diri mereka.

Video berkaitan Qawiyyul Jismi.

Wallahualam.




Post a Comment