Ucapan Pembuka Tirai Sesi Akademik 2014/2015 oleh Presiden AZAM Russia

0 comments
[sekadar hiasan]



بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah,

Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada semua.

1- Segala puji bagi Allah, sesi pengajian di bumi Persekutuan Russia bermula sekali lagi. Selamat kembali ke Russia diucapkan kepada semua mahasiswa Malaysia yang menuntut di bumi salju ini, baik di lokaliti Moscow, Volgograd, Nizhny Novgorod, Kursk mahupun St Peterburg.

2- AZAM Russia ingin mengajak kesemua mahasiswa Malaysia di bumi Russia agar sama-sama memperbaharui niat dan paradigma sebelum menyambung perjuangan kita, agar kita sentiasa meletakkan orientasi pembelajaran kita pada cita-cita yang mulia dan tertinggi. Sepertimana hadis Nabi saw;

 إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّات

"..sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat.."

maka penting untuk kita sama-sama "reset" kompas kita sebelum menempuh perjalanan yang lebih jauh.

3- Bagi mahasiswa jurusan perubatan, marilah kita sama-sama letakkan cita-cita untuk menjadi doktor yang berilmu, kompeten serta berjiwa mulia hendak membantu memelihara kesihatan masyarakat dan ummah dengan ikhlas kerana Tuhan. Bagi para pelajar jurusan kejuruteraan pula, marilah kita sama-sama meletakkan azam yang tinggi untuk menjadi perintis-perintis baru yang unggul dalam membina peradaban dan memperkasakan ummah.

4- AZAM Russia juga ingin mengajak kesemua mahasiswa agar kita semua lebih bersemangat dalam menghidupkan kembali budaya ilmu, dan memupuk semangat ingin tahu yang tinggi. Gunakan lah zaman bergelar mahasiswa ini sebaik nya untuk menimba ilmu dan seterus nya membina diri, agar kita bukan sahaja menjadi bakal doktor dan jurutera yang hebat, bahkan juga menjadi individu-individu yang berkaliber dari sudut intelektual, akhlak, sifat ketuhanan, sifat manusiawi juga lain-lain lapangan kecerdasan.

5- Mari lah kita  buang jauh-jauh sifat malas yang akan memakan diri, dan sentiasa beriltizam untuk menuntut ilmu  dengan bersungguh-sungguh. Sebagai seorang yang beriman kepada Allah azza wa jalla dan sentiasa mendambakan syurga-Nya, marilah kita sama-sama mengambil motivasi daripada hadis Nabi saw ;

ومَنْ سَلَكَ طَريقاً يَلتَمِسُ فِيه عِلماً ، سَهَّلَ الله لَهُ بِهِ طَريقاً إلى الجَنَّةِ

“Barangsiapa menempuh suatu jalan mencari ilmu padanya, niscaya Allah akan memudahkan baginya jalan menuju surga.” (HR Muslim)

6- AZAM Russia juga menggalakkan mahasiswa Malaysia di Russia agar terus komited dan konsisten membina nilai tambah (added value) dalam diri masing-masing melalui pelbagai bentuk aktivisma dan kegiatan luar kuliah seperti berpersatuan, ber-usrah, berwacana, melaksanakan amal-amal kebajikan dan sebagai nya. Sentiasa kukuhkan hubungan kita dengan Allah dan jaga lah hubungan sesama manusia. Moga-moga ikatan yang kukuh dengan Allah dan jalinan yang baik sesama insan menjadi bekal terbaik bagi kita dalam perjalanan menjadi insan-insan yang hebat.

7- Buat pelajar tahun pertama yang sudah atau bakal menjejakkan kaki di bumi Russia, selamat datang diucapkan, dan selamat menyesuaikan diri dengan baik di sini. Sentiasa jadi kan niat yang ikhlas kerana Allah sebagai pedoman, dan jangan segan silu meminta bantuan daripada abang-abang dan kakak-kakak senior. Kami dari AZAM Russia lebih dari sudi hendak membantu kalian dalam segenap lapangan, inshaAllah.

8- Buat pelajar tahun akhir pula, kekalkan atau tingkatkan momentum kalian. Jangan sesekali berputus asa, dan teruskan berjuang hingga ke garisan penamat. Semoga Allah azza wa jalla mempermudah langkah dan urusan kalian, sehingga lah segulung ijazah akhir nya berada di dalam genggaman.

Selamat maju jaya diucapkan kepada semua. Semoga Allah redha.

Dengan KeAZAMan, KITA bermula.


Muhammad Ilham bin Muntari
Presiden AZAM Russia




Post a Comment