FRIDAY WRAP (21 NOVEMBER 2014 - 27 NOVEMBER 2014)

0 comments
Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.  

AZAM Russia kini kembali pada minggu ini dengan berita-berita terkini dari seluruh dunia.


Pelarian Syria di Greece Mogok Lapar
26 November 2014


ATHENS, GREECE - Lebih 200 pelarian Syria di Greece melancarkan mogok lapar di ibu negara Athens, semalam.

Protes yang dimulakan di hadapan bangunan Parlimen Greece sejak 19 November lalu, bertujuan menggesa kerajaan memberi mereka pekerjaan dan hak bermastautin sementara.

Difahamkan, beberapa penunjuk perasaan bertindak duduk di kaki lima dan menutup mulut mereka dengan pita pelekat.

Greece merupakan pintu masuk pelarian yang ingin ke Kesatuan Eropah dan negara terbabit menyaksikan peningkatan dalam bilangan pelarian Syria berikutan ramai yang menyeberangi dengan bot dari Turki, dipetik dari laporan Press TV.


Rusia sokong Palestin diiktiraf Sebuah Negara
26 November 2014

MOSCOW, RUSIA - Rusia berjanji akan menyokong draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara, menurut Interfax.

Timbalan Menteri Luarnya, Mikhail Bogdanov berkata, resolusi itu boleh dijadikan titik permulaan untuk memperbaharui rundingan antara Palestin dengan Israel, selain Rusia bersedia memberi sokongan jika tiba masa untuk mengundi kelak.

"Amerika Syarikat (AS) dan Israel lakukan segala-galanya menghalang wakil Palestin ke PBB. Bagaimanapun, terdapat kemungkinan AS akan gunakan kuasa veto pada waktu pengundian," katanya menurut laporan Middle East Monitor.


Suspek Ebola Meninggal Dunia
26 November 2014


ISLAMABAD, PAKISTAN - Seorang pesakit yang disyaki menghidap virus Ebola meninggal dunia di bandar perindustrian Faisalabad, menurut agensi berita Xinhua, semalam.

Mangsa dikenali sebagai Zulfiqar Ahmad, 40, dari wilayah Punjab baru pulang daripada mengunjungi Togo, 16 November lalu.

Sumber hospital memberitahu, kematian itu menjadi kes pertama Ebola di Pakistan jika ia disahkan.

"Sampel air kencing lelaki berkenaan telah dihantar ke Institut Kesihatan Kebangsaan dan kami masih menunggu laporan ujian itu," kata Dr Rashid Maqbool, dipetik dari laporan Channel News Asia.


Parlimen Sepanyol Iktiraf Palestin
21 November 2014


MADRID, SEPANYOL - Parlimen Sepanyol sebulat suara mengundi untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara selepas memperoleh 319 undi sokongan di bawah usul dikemukakan parti Sosialis yang merupakan pembangkang utama negara itu.

Resolusi itu juga bertujuan untuk menggesa kerajaan supaya mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara mengikut undang-undang antarabangsa.

Selain itu, ia berfungsi untuk menggalakkan penyelarasan dengan dasar Kesatuan Eropah (EU) yang mengakui Palestin sebagai sebuah negara berdaulat, demokrasi dan merdeka.

Sepanyol mengikut jejak langkah Britain dan Ireland yang telah membuat tindakan simbolik dengan meluluskan usul tidak terikat serupa bagi mengesahkan hak Palestin.

Pada 30 Oktober lalu, Sweden menjadi negara anggota pertama EU mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara dalam tempoh kurang sebulan selepas kerajaan itu mengumumkan rancangan tersebut walaupun berdepan kritikan daripada Amerika Syarikat (AS) dan sekutu kuatnya, Israel.

Difahamkan menurut laporan Press TV, Perhimpunan Kebangsaan Perancis juga bakal mengambil langkah simbolik sama bagi menuntut pengiktirafan serupa terhadap wilayah Palestin pada Jumaat depan. 


Israel nafi Hak Tahanan Palestin
21 November 2014


BAITULMAQDIS, PALESTIN - Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) mendakwa seramai 10,000 kanak-kanak Palestin telah ditahan Israel sejak tahun 2000.

Ketua Jawatankuasa Tahanan Palestin, Issa Qaraqe turut mendedahkan bahawa rejim Zionis turut melakukan pencabulan hak asasi seperti menghina dan mendera kanak-kanak terbabit.

"Israel tidak memberikan sebarang imuniti malah terus melanggar perjanjian antarabangsa mengenai hak asasi tahanan kanak-kanak.

"Mereka terus menyeksa dan menafikan hak kanak-kanak Palestin untuk mendapatkan perbicaraan yang adil," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kata Qaraqe lagi, sejak Jun, Tel Aviv telah menahan kira-kira 3,000 rakyat Palestin dan 30 peratus daripada mereka adalah kanak-kanak.

"Buat masa ini, sekurang-kurangnya 300 kanak-kanak ditahan di penjara Israel dan kebanyakan mereka ditangkap di timur Baitulmaqdis," katanya kepada Press TV.


Pendakwa Raya Mahu Mursi dihukum Mati
21 November 2014

KAHERAH, MESIR - Pendakwa raya Mesir secara rasmi meminta Mahkamah Jenayah Kaherah supaya menjatuhkan hukuman mati ke atas presiden yang digulingkan, Mohamed Mursi serta beberapa pemimpin Ikhwanul Muslimin.

Ketua Pendakwa Raya, Emad el-Sharway berkata Mursi dan pembantu-pembantunya harus dijatuhkan hukuman mati atas tuduhan pengintipan dan menghasut pembunuhan lapor Press TV.

Mursi dan 35 pemimpin Ikhwanul Muslimin kini berdepan perbicaraan kerana dituduh mengganggu kestabilan Mesir kerana bekerjasama dengan Hamas dan Hezbollah serta didakwa membocorkan maklumat sulit kerajaan kepada negara-negara asing.

Mahkamah memutuskan akan mendengar hujahan pembelaan Mursi pada 26 November ini.

Mursi yang dipilih secara demokrasi digulingkan pada 3 Julai tahun lalu.


12.2 juta Rakyat Syria Perlukan Bantuan Kemanusiaan - PBB
26 November 2014

NEW YORK - Dianggarkan 12.2 juta rakyat Syria memerlukan bantuan kemanusiaan berikutan meningkatnya keganasan dan keadaan tidak menentu di negara itu.

Jumlah itu meningkat lebih tinggi berbanding 10.8 juta pada Julai lalu, demikian menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.

Ketua Bantuan Kemanusiaan PBB, Valerie Amos, memberitahu Majlis Keselamatan PBB bahawa penyaluran bantuan dari Turki dan Jordan ke kawasan dikuasai pemberontak di Syria tanpa kelulusan kerajaan berjaya membantu menangani masalah itu.

Sehubungan itu, beliau menggesa Majlis Keselamatan agar melanjutkan program agihan bantuan menerusi sempadan yang tamat pada 9 Januari depan.

Amos memberi gambaran betapa buruknya keadaan di Syria - 40 peratus penyusutan ekonomi sejak 2011, satu pertiga penduduk hidup dalam kemiskinan, 50 peratus penurunan kehadiran ke sekolah, 7.6 juta pelarian dalam negara dan 3.2 juta pelarian di negara asing.


7 Rumah Musnah, 30 Cedera akibat Gempa di Tengah Jepun
23 November 2014


TOKYO - Gempa kuat yang melanda kawasan pergunungan di tengah Jepun yang pernah menjadi tuan rumah Olimpik Musim Sejuk pada 1998, memusnahkan lebih tujuh kediaman di kawasan peranginan ski serta sekurang-kurangnya 30 lagi cedera.

Gempa berukuran 6.8 magnitud melanda Bandar Nagano jam 10 malam semalam (waktu tempatan) di kedalaman 10 kilometer, demikian menurut Agensi Meteorologi Jepun.

Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa berukuran 6.2 magnitud itu bagaimanapun tidak menyebabkan tsunami kerana ia berlaku di tanah besar.


H5N8: Belanda Musnahkan 8,000 Itik
22 November 2014


AMSTERDAM - Pihak berkuasa kesihatan memusnahkan 8,000 itik bagi mengelak kemungkinan penularan wabak selesema burung yang sudah menjangkiti tiga ladang ternakan dalam masa seminggu di Belanda, antara pengeksport utama unggas dan telur.

Menurut satu kenyataan kerajaan, itik berkenaan sedang dimusnahkan di bandar Barneveld sebagai langkah berjaga-jaga kerana pihak berkuasa mahu menghapuskan segala risiko virus H5N8 tersebar ke tiga daripada 12 negeri sejak Ahad lalu.

Operasi pengosongan di ladang ternakan itik di Barneveld itu akan meningkatkan bilangan haiwan yang dimusnahkan sejak jangkitan pertama dikesan pada 211,000 unggas Ahad lalu.

"Tindakan ini perlu dilakukan bagi mengelak penularan wabak seperti pada 2003 apabila 30 juta ayam dimusnahkan," menurut kenyataan itu. - Reuters


Sekian sahaja untuk minggu ini. Wallahualam.


"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat ."
(al hujurat : 10)


Post a Comment