Friday Wrap 10/04/2015

0 comments
Assalamualaikum wrt. Friday Wrap kembali membawakan berita dari seluruh dunia buat para pembaca. Davai cakna isu semasa insyaAllah. 






NAHAS SEMENYIH: TAN SRI JAMALUDDIN JARJIS MENINGGAL DUNIA

5 April 2015
Datuk Seri Najib Tun Razak serta beberapa VIP lain di kediaman Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis - FOTO AWANI


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Rompin merangkap Duta Khas Malaysia ke Amerika Syarikat, Tan Sri Jamaluddin Jarjis, seorang daripada 6 mangsa tragedi helikopter terhempas di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih kira-kira pukul 4.55 petang waktu Malaysia hari ini.

Helikopter Eurocopter AS365N2 Dauphin membawa 6 penumpang iaitu ahli Parlimen Rompin Tan Sri Jamaluddin Jarjis, pengawal peribadinya, Razakan Seran, Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Seri Azlin Alias, Datuk Tan Huat Seang, juruterbang, Kapten Clifford William Fourniar dan pembantu operasinya, Aidana Baizieva.

Jenazah Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis telah selamat disemadikan di Masjid Negara kira-kira pada pukul 5.15 petang waktu Malaysia tadi.

Sebelum ini, jenazah Allahyarham telah dimandikan di Hospital Kuala Lumpur dan disolatkan di Masjid Taman TAR, Ampang.

Sebagai tanda penghormatan kepada beliau, kedutaan Amerika Syarikat mengibarkan bendera separuh tiang. - astroAWANI-






SITUASI MERUNCING DI KEM PELARIAN YARMOUK

7 April 2015

Nyawa hampir 18,000 pelarian Palestin di kem Yarmouk semakin terancam selepas kawasan itu digempur kumpulan militan IS pada 1 April lalu.



DAMSYIK - SYRIA. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan mereka terhadap situasi yang semakin meruncing di kem Yarmouk yang menempatkan pelarian Palestin berhampiran ibu negara Syria.

Perkara itu disuarakan melalui kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNRWA), kelmarin selepas pertempuran sengit tercetus antara kumpulan bersenjata, Aknaf Beit al-Maqdis dan militan IS di kem pelarian tersebut sejak 1 April lalu.

"Nyawa hampir 18,000 orang awam termasuk kanak-kanak semakin terancam. Lebih 90 peratus kem pelarian Palestin itu kini berada di bawah cengkaman kumpulan militan IS

"Bekalan makanan, air bersih dan keperluan asas lain juga semakin berkurangan akibat konflik tersebut," menurut laporan itu.

Susulan daripada itu, UNRWA menggesa kesemua pihak yang terlibat dalam krisis itu supaya menghentikan pertempuran tersebut dan mematuhi undang-undang antarabangsa untuk melindungi nyawa orang awam. - Press TV




BAKAL BERDEPAN HUKUMAN MATI

8 April 2015




Craig Stephen dijatuhi hukuman mati


WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Lelaki warga Amerika Syarikat (AS) yang menembak mati tiga pelajar Islam dalam kejadian menggemparkan di North Carolina pada Februari lalu bakal berdepan hukuman mati.

Craig Stephen, 46, didakwa melakukan pembunuhan darjah pertama ke atas Deah Shaddy Barakt, 23, Yusor Mohammad Abu-Salha, 21, dan Razan Mohammad Abu-Salha, 19, di sebuah apartmen berhampiran Universiti North Carolina pada 10 Februari lalu.

Kelmarin, hakim Orlando Hudson Jr memberitahu Stephen boleh dijatuhi hukuman mati jika disabit bersalah oleh mahkamah.

Terdahulu, beberapa bahan bukti dikemukakan kepada mahkamah menunjukkan lapan kelongsong peluru yang ditemui di lokasi kejadian adalah sepadan dengan senjata api milik tertuduh.

Selain itu, hasil siasatan polis turut menemui tompokan darah milik salah seorang mangsa pada seluarnya. - Press TV








MH17: PDRM HANTAR PASUKAN FORENSIK KE KIEV

9 April 2015

Ketua Polis Negara dalam satu sidang akhbar



CYBERJAYA - Tujuh anggota forensik polis akan berlepas ke Kiev Sabtu ini bagi menyambung semula pencarian bangkai pesawat dan bukti baharu nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 di Ukraine.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pasukan itu akan memasuki kawasan tragedi di Donetsk, Ukraine pada Selasa ini (14 April) bersama-sama pasukan keselamatan Belanda dan Ukraine.

"Fokus pencarian adalah bagi mencari baki serpihan pesawat, mencari bukti baharu untuk membantu siasatan serta mengesan seorang lagi mangsa yang masih belum ditemui.

"MH17 adalah pesawat kita. Polis komited dalam meneruskan siasatan dan berharap misi kali ini yang mendapat kerjasama Belanda dan lain-lain pasukan dapat membantu menemui petunjuk baharu kes itu," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi ke Universiti Limkokwing di sini.

Beliau berkata pasukan itu, yang bakal disertai unit lain, akan berada selama sebulan di lokasi nahas.

Pesawat MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, adalah dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur semasa terhempas di timur Ukraine setelah dipercayai ditembak jatuh di ruang udara negara yang bergolak itu pada 17 Julai lepas.







KETUA EKSEKUTIF 1MDB JUMPA TUN M

9 April 2015






KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) serta Ketua Eksekutifnya Arul Kanda Kandasamy telah mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menerangkan mengenai syarikat tersebut.

Najib berkata beliau tidak pernah menjelaskan secara langsung mengenai 1MDB kepada Dr Mahathir kerana urusan tersebut tidak dibangkitkan secara terus oleh bekas Perdana Menteri itu kepadanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika ditemu bual oleh pengacara Hamdan Ahmir dalam program Edisi Khas Soal Jawab TV3 malam ini.

Dr Mahathir baru-baru ini meminta Najib menjawab beberapa persoalan berkaitan 1MDB setelah mengkritik beliau mengenai kerugian serta hutang yang ditanggung oleh syarikat tersebut.

Dr Mahathir juga meminta Najib menjelaskan mengenai hubung kait syarikat tersebut dengan ahli perniagaan Low Taek Jho, serta sumber kewangan anak tiri beliau Riza Aziz, yang membeli hartanah mewah di New York.

Dalam wawancara tersebut, Najib berkata beliau telah meminta Ketua Audit Negara mengesahkan sama ada dana 1MDB disalahgunakan untuk membuat filem dan sebagainya.

Ditanya mengapa soal pembikinan filem itu dibangkitkan oleh Dr Mahathir, Najib berkata: "Sebab ada dakwaan sedemikian. Saya tidak mahu mempertahankan apa-apa sebab ia melibatkan ahli keluarga saya, dan oleh sebab itu saya hendak Ketua Audit Negara mengesahkan perkara ini."

Ditanya sama ada beliau memohon kepada pihak pengurusan 1MDB supaya lebih telus dalam urus niaga akan datang, Najib berkata beliau telah pun berbuat demikian. - Bernama-




"Dan Bagaimanakah kamu (sampai) menjadi kafir, padahal ayat-ayat Allah dibacakan kepada kamu, dan Rasul-Nya pun berada di tengah-tengah kamu? Barangsiapa yang berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya ia telah diberi petunjuk kepada jalan yang lurus." - Ali Imran 101

Wallahualam.











Post a Comment